Datuk Wira Ir.
Haji. Idris bin Haji Haron merupakan Ketua Menteri Melaka yang ke-10 yang
telah mengangkat sumpah pada 7 Mei 2013. Beliau juga merupakan Ahli Dewan
Undangan Negeri Sungai Udang.
Dilahirkan
pada 13 Mei 1966 di Asahan, Melaka. Beliau dibesarkan sebagai anak yatim
apabila bapanya, Haron Hashim, seorang pesara Penghulu telah meninggal dunia
semasa usianya baru 6 tahun. Setelah kematian bapanya, beliau telah dijaga oleh
datuknya selama 6 bulan seterusnya dijaga oleh abangnya (berlainan ibu) yang
juga seorang guru besar.
Mendapat
pendidikan awal di beberapa sekolah seperti Sekolah Rendah Kebangsaan Simpang
Bekoh, Sekolah Rendah Kebangsaan Belading, Sekolah Rendah Kebangsaan Asahan dan
Sekolah Rendah Kebangsaan Kubu.
Kemudiannya
mendapat pendidikan menengah di Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah dan telah
mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Seterusnya, beliau
ditawarkan biasiswa ke Amerika Syarikat oleh Lembaga Letrik Negara (LLN).
Akhirnya Datuk Wira Ir. Haji Idris bin Haji Haron menamatkan pengajian di
Universiti Texas dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains Kejuruteraan Elektrik
(Kuasa).
Di
dalam bidang pekerjaan pula, Datuk Wira Ir. Haji Idris bin Haji Haron pernah
bertugas di Lembaga Letrik Negara (kini disebut TNB) sebagai jurutera dan juga
pengurus iaitu sebagai jurutera Pengguna LLN, Kajang (1989), Jurutera Operasi
TNB, Kajang (1991), Pengurus Struktur dan Perancangan TNB, Kajang (1993),
Pengurus Operasi dan Senggaraaan TNB, Jasin (1998) dan Pengurus Bisnes Daerah
TNB Distribution Sdn. Bhd., Melaka (1999). Manakala pada tahun 2000 beliau
telah dilantik sebagai Yang Dipertua Majlis Daerah Alor Gajah (MDAG) kini
disebut Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dari tahun 2000 hingga 2004.
Kini,
beliau yang berumah tangga bersama Fadilah binti Abdullah mempunyai dua orang
anak iaitu Luqman Hakim dan Amira.
Pembabitannya
dalam politik bermula pada tahun 1993 apabila dilantik sebagai Ketua Pemuda
UMNO di Klebang Kecil iaitu pada usia 28 tahun. Sangat aktif dalam penubuhan
belia sehinggalah beliau menubuhkan Gerakan Belia 4B bagi Klebang Kecil.
Pada
tahun 2004 Datuk Wira Ir. Haji Idris bin Haji Haron telah memenangi Piliharaya
Umum bagi kerusi Parlimen Tangga Batu. Pada tahun 2008 pula, telah melakar
kejayaan yang besar dengan memenangi kerusi Ahli Majlis Tertinggi UMNO. Selain
itu beliau juga pernah menyandang jawatan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi
dari tahun 2008 hingga 2009.
Pada
Pilihanraya Umum tahun 2013, Datuk Wira Ir. Haji Idris bin Haji Haron telah
memenangi kerusi di Dewan Undangan Negeri Sungai Udang mewakili Barisan
Nasional (BN) menewaskan calon dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan majoriti
besar iaitu sebanyak 9136 undi. Kemudiannya, pada tanggal 7 Mei 2013, beliau
telah dilantik menjadi Ketua Menteri Melaka yang ke-10.
Sepanjang
berkecimpung di dalam bidang belia, banyak anugerah dan pengiktirafan yang
pernah diterimanya seperti Tokoh Maal Hijrah Kategori Belia, Tokoh Belia Negeri
Melaka, Tokoh Belia Negara Peringkat Negeri Melaka Kategori Kepimpinan dan
Keusahawanan serta Tokoh Belia Negara Kategori Kepimpinan yang mana semuanya
diterima pada tahun 2003.
Antara
amanah yang pernah dan sedang dipikul oleh beliau ialah sebagai Ketua UMNO
Bahagian Tangga Batu, Ketua Penerangan Badan Perhubungan UMNO Melaka, Pengerusi
Biro Agama Pemuda UMNO Melaka, Naib Pengerusi Belia 4B Melaka, Pengerusi Belia
4B Tangga Batu, Penasihat Pengasih Melaka, Pengarah Akademi Kemahiran Melaka
Sdn. Bhd. dan Ahli Jawatankuasa Penasihat Institut Kemahiran Belia Alor Gajah.
Di
peringkat kebangsaan pula beliau telah membarisi Jawatankuasa Ahli Majlis
Tertinggi Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Pengerusi Biro Antidadah dan
Gejala Sosial Pemuda UMNO Malaysia, Penolong Setiausaha Kelab Penyokong
Kerajaan (BNBC) dan Pengerusi Sekretariat Pembangunan Belia Dunia Melayu Dunia
Islam (DMDI).